28hb. Januari, 2013
http://suaris.wordpress.com
Sudut Fikiran Bakri Musa
I Masa Depan Melayu
Kalau lebih ramai lagi memberi dan menyumbang daripada mereka yang bergantung dan menerima, cepatlah maju masyarakat itu…
Dr Bakri Musa agak asing kepada sesetengah pembaca Malaysia. Tambahan pula kepada sesetengah pembaca yang kurang terdedah dengan medium internet berbahasa Inggeris, maka mereka dijangka sedikit kerugian apabila idea-idea bernas dari penulis dan pemikir hebat seperti Dr Bakri tidak dapat diakses kepada mereka.
Suaris telah mengambil inisiatif untuk mendekatkan pembaca berbahasa Melayu khususnya dengan buah fikiran Dr Bakri. Selaku anak kelahiran negeri Sembilan, dan mewakili generasi awal Bumiputera yang mendapat peluang pendidikan luar Negara, Dr Bakri tidak pernah melupakan asal-usulnya dan membalas budi tanah airnya melalui senarai idea dan tulisan, yang sebahagiannya dibukukan.
Terbaru, beliau muncul dengan koleksi tulisannya yang diberi judul ‘Liberating The Malay Mind’ yang diterbit oleh ZI Publication. Sekalipun bermastautin di Amerika Syarikat, membaca naskah tulisan beliau menyebabkan kita berasa amat dekat dengannya.
Dalam kesempatan ini, Dr Bakri berbincang mengenai topik yang penting dan amat relevan dengan situasi orang Melayu di Negara kita, iaitu “Bangsa Melayu dan Masa Depan’. Warga Melayu dilihat berada di persimpangan dalam banyak perkara; persimpangan politik, ekonomi, pembangunan, pendidikan dan sosial amnya. Pendek kata, bagaimanakah rupa perkembangan masa depan orang Melayu dalam dekad akan datang dan bagaimanakah mereka akan menghadapinya?
Ikuti wawancara tersebut selengkapnya.
Suaris: Apa khabar Dr? Diharapkan Dr dan isteri sentiasa sihat dan diberkati Allah hendaknya.
Dr Bakri: Beres! Sehat sahaja, Alhamdullillah!
Suaris : Dr banyak menulis berkenaan ketidaksediaan orang Melayu dalam menghadapi masa depan mereka? Sejauh mana tidak bersedianya mereka ini?
Dr Bakri : Di dalam buku saya Towards A Competitive Malaysia (Ke arah Malaysia Membangun) saya mengemukakan kesimpulan ini: Kemajuan atau kemunduran sesuatu masyarakat dan negeri tergantung kepada empat tiang – pemimpin (leaders), rakyat (people), budaya (culture), dan alam sekitar (geography).
Daripada empat unsur itu, hanya satu sahaja – alam sekitar – yang tidak boleh di ubah. Sama ada negara itu kaya dengan minyak dan tanahnya subur adalah berkat daripada Tuhan. Bersyukur dan untunglah rakyatnya.
Tetapi kalau negara yang bertuah itu mempunyai pemimpin yang korup dan tidak bijak, rakyatnya tidak mempunyai kebolehan atau kepakaran, dan budayanya merosot dan suka membazir, lama kelamaan masyarakat itu akan mundur. Banyak contoh di dunia sekarang, antaranya Brunei dan negera Arab.
Di sebaliknya, jika alam atau geografi negeri itu tidak bertuah, tanahnya penuh dengan gunung-gunung yang tinggi dan dibalut salji yang tebal, dan cuacanya sejuk menyebabkan tanaman boleh tumbuh hanya empat atau lima bulan sahaja setahun, tetapi jika mutu pemimpin, rakyat dan budaya masyarakat itu tinggi, ia akan maju dan terus maju. Contohnya Switzerland.
Kita mudah faham betapa mustahaknya pemimpin yang bijak, cekap dan beramanah. Pemimpin yang saya maknakan bukan sahaja dalam medan politik dan pentabiran negeri (menteri dan penghulu), tetapi juga dalam agama (mufti dan ustaz), masyarakat (sultan dan raja raja), pendidikan (professor dan guru guru), ibu bapa dll.
Mutu rakyat atau modal insan (human capital) tergantung kepada dua ukuran: kesihatan dan pendidikan. Kalau rakyat kita tidak sihat (ketagih dadah, dijangkiti malaria dan denggi), mereka tidak akan cekap dan berupaya. Kalau dasar pelajaran kita mundur, pemuda pemudi kita tidak akan mahir.
Seseorang makhluk itu adalah menyumbang dan memberi, atau bergantung dan menerima daripada masyarakat. Kalau lebih ramai lagi memberi dan menyumbang daripada mereka yang bergantung dan menerima, cepatlah maju masyarakat itu. Sebaliknya jika lebih ramai menerima dan bergantung cepatlah mundur masyarakat atau negeri itu.
Apa yang saya maksudkan dengan istilah budaya ialah acara acara, badan-badan serta adat resam dan nilai-nilai masyarakat itu.
Cuba ambil badan-badan. Bila saya beli daging di kedai saya tahu ada badan-badan dan undang-undang yang mengesahkan bahawa daging itu bersih dan halal. Kalau tidak, ramai pembeli yang akan sakit dan mati akibat makan daging busuk. Bagitu juga jika kita tidak ada badan dan undang-undang yang kita tidak percayai, siapa yang akan mengesahkan bahawa rumah yang saya nak beli itu betul-betul dipunyai oleh si penjual? Banyak masa and jasa akan membazir hanya untuk mengesahkan yang penjual betul-betul tuan punya harta yang nak dijual.
Bagitu juga bila saya simpan wang di bank, saya yakin duit saya itu tidak akan hilang dilarikan oleh manager bank itu.
Tentang nilai budaya, jika kita hormatkan penipu, pencuri dan penyangak, itu memberi tauladan kepada orang ramai terutama yang muda. Mereka pun akan menjadi penyamun dan pencuri seperti kaum Mafia di Italy Selatan.
Keempat empat unsur-unsur itu bertindak balas antara satu dan lain. Maknanya, rakyat yang bijak akan memilih atau mengundi pemimpin yang sama bijak dan tidak akan melayan atau tunduk kepada pemimpin yang angkuh dan penipu. Bagitu juga pemimpin yang bijak akan membina dasar pendidikan yang membolehkan murid murid menerima ilmu dan kemahiran yang membolehkan mereka menjadi rakyat yang soleh.
Rakyat dan pemimpin yang bijak akan mengunakan dan memelihara alam sekitar nya dengan bijak. Misalnya Cancun, Mexico, dalam tahun lima puluhan dulu adalah satu kampung nelayan yang miskin. Tetapi oleh kebijakan pemimpin serta mutu rakyat yang bertambah tinggi, Cancun sekarang bukan lagi pusat nelayan tetapi pusat pelancongan yang masyhur dan maju. Nelayan yang dahulunya miskin sekarang mewah berkerja sebagai “tour guide” untuk pelancong dari America dan Europah yang tiba beribu untuk memancing sebagai sport.
Bila kita periksa keadaan masyarakat Melayu sekarang dari sudut keempat empat elemen yang saya terangkan diatas, iaitu pemimpin, mutu rakyat, budaya, dan alam sekitar kita, apakah markah yang patut kita bagi?
Cuba tengok alam sekitar kita. Pantai-pantai kita indah, ombaknya biru, airnya tidak sejuk, dan matahari selalu sahaja bercahaya. Patutnya berjuta orang Eropah dan Jepun melancong ke negeri kita. Kalah Cancun! Apa sebab tidak begitu? Tengoklah, sampah merata rata, kemudahan awam saperti tandas dan bilik mandi tak ada, kalau ada pun kotor.
Di mana salahnya? Pemimpin? Betul! Rakyat? Betul juga! Budaya? Susahlah nak cakap! Di dalam buku saya Towards A Competitive Malaysia saya huraikan pelbagai cara memimpin, cara-cara untuk meninggikan mutu rakyat, meninggikan unsur-usur budaya kita, serta membela alam sekitar kita supaya mengutungi masyarakat.
II Melayu Perlu Merdeka
Masyarakat Melayu sekarang berkehendakkan pertolongan racun Roundup bukan baja Urea untuk menghapuskan ahli lalang dalam masyarakat kita. Kebun kita sudah dibanjiri lalang…
DALAM siri temuramah Suaris bersama Dr Bakri Musa bahagian kedua, Dr menyatakan pentingnya orang Melayu bersama pemimpin-pemimpinnya melakukan anjakan dengan mengubah pemikiran mereka ke arah kemajuan dan rasionaliti. Mereka tidak sepatutnya taksub kepada ajaran mahu pun arahan yang meminta mereka supaya berfikiran jumud, mundur ke belakang sekalipun arahan itu datangnya dari seorang ulama atau pemimpin utama. Mereka juga diseru supaya membuang kebergantungan berlebihan mereka kepada tongkat (bantuan kerajaan) supaya mereka lebih berdikari dan percaya diri.
Ikuti temuramah tersebut selengkapnya.
Suaris: Dr Mahathir dalam satu rancangan di Astro Awani beberapa hari lepas berkata orang Melayu akan terus ketinggalan sekiranya tidak dibantu, yang diistilahkan beliau sebagai tongkat. Adakah Dr bersetuju orang Melayu terus diberikan tongkat berkenaan. Sampai bila bantuan ini perlu diteruskan?
Dr Bakri: Kalau orang Melayu sekarang masih lagi kebelakangan selepas lebih daripada 55 tahun di “bantu” oleh kerajaan UMNO, kita patut periksa dengan teliti apakah yang disifatkan “bantuan” itu.
Sebagai ibu bapa kita sedia maklum betapa mustahaknya cara kita membantu anak anak kita. Kalau kita selalu sahaja memanjakan, jangan harapkan mereka menjadi cemerlang. Kalau kita terlalu kuat atau “strict,” mungkin mereka akan hilang ketegasan sendiri (self-confidence). Begitu juga kalau kita selalu memburukkan dan memberatkan kelemahan mereka.
Dalam rawatan moden, seseorang yang sudah dibedah tulang punggungnya jarang diberi tongkat; kalau diberi hanya untuk seminggu dua sahaja. Sebaliknya, pesakit diberi physiotherapy untuk tujuan berjalan sendiri tanpa tongkat. Pesakit yang saya bedah, pada keesokan harinya saya menyuruh dia bangun berjalan tanpa pertolongan.
Banyak bahayanya jika si pesakit terbaring sahaja di atas katil, antaranya darah beku (blood clot) yang boleh mengakibatkan maut. Pesakit yang saya bedah kerana appendicitis biasanya keluar dari hospital pada esok hari dan kembali berkerja dalam tempoh seminggu. Dua puloh tahun dahulu pesakit seumpama (akan mengambil masa yang lama) baru nak keluar dari hospital!
Satu wawasan perubatan ialah jika badan kita (sama ada urat, tulang, dan juga otak) tidak di kerjakan atau dilatih ia akan menjadi lemah dan reput. Jika saya ikatkan bujang (pemuda) yang kuat dan sehat di atas katil dan “bantu” dia makan, mandi dan sebagainya supaya dia tak payah pun bergerak satu urat, tak sampai seminggu hamba Allah itu tidak akan boleh bangun sendiri; dia akan memohon tongkat sebab badannya sudah menjadi lemah. Itu bahayanya “menolong” berlebih- lebihan.
Kita perlu kaji dengan teliti mengapa “pertolongan” yang diberi kepada kaum kita oleh kerajaan UMNO tidak berkesan.
Dr. Mahathir pernah merawat pesakit. Kalau si pesakit tidak sembuh dengan ubat dan rawatan yang diberi, patutkah si doktor terus dengan ubat dan rawatan yang sama bertahun- tahun? Mungkin si pesakit patut dibantu dengan Penicillin, bukan Panadol.
Kadang kadang, walau pun ubat yang diberi itu sesuai, mungkin sukatan yang diberi tidak mencukupi atau berlebihan. Betul, Panadol akan menurunkan demam, tetapi hanya jika diberi dalam sukatan yang berpatutan. Kalau diberi suku pil sahaja, demam takkan turun, dan kita akan salahkan ubat!
Kalau kita bagi ubat berlebihan, itu pun boleh menjadi bisa dan bahaya. Di Amerika setiap tahun berapa orang kanak-kanak maut kerana ibu memberi Tylenol (ubat seperti Panadol) berlebihan mengikut sukatan yang sesuai untuk orang dewasa.
Kalaupun kita bagi ubat yang sesuai serta sukatan yang berpatutan tetapi pesakit masih tidak sembuh, ini bermakna kita patut dan mesti tukar “diagnosis” dan rawatan kita. Penyakit seperti appendicitis memerlukan pembedahan, bukan penicillin.
Mungkin pembaca kurang selesa dengan metafora perubatan, jadi saya gunakan gambaran peladang. Di ladang, kalau kita tidak cabutkan dengan habis-habisan termasuk uratnya, lalang akan gembur dan menimbun serta merosakkan tanaman yang berharga. Apa lagi kalau kita “tolong” lalang itu dengan membajakannya!
Kebun UMNO sekarang ditimbuni lalang. Kalau kita hendak menolong UMNO dan orang Melayu pada umumnya, kita patut semburkan racun Round Up untuk membunuh lalang-lalang itu supaya kita boleh tanam benda yang berguna dan mereka berpeluang bangun. Tetapi apa yang kita buat sekarang? Kita bajakan lalang! Alasannya, betul lalang, tetapi lalang Melayu! Kita mesti tolong sebab Melayu!
“Pertolongan” yang dihebohkan oleh Dr. Mahathir dan pemimpin-pemimpin UMNO saya sifatkan seumpama membajakan lalang. Akibatnya banyak dan lumayan lalang Melayu sekarang; Isa Samad sekarang sembur sebagai peneraju FELDA. Dia dibuktikan bersalah “wang politik” oleh kerabatnya dalam UMNO beberapa tahun lepas. Khir Toyo satu lagi lalang Melayu yang sekarang sembur dalam istana kayangannya yang dibiayai oleh (wang) rakyat.
Di bahagian swasta, lalang Tajuddin Ramli hampir mengorbankan kebun MAS. Banyak lagi lalang di Utusan dan New Straits Times. Dalilnya, pembaca NST sekarang tak sampai separuh daripada sepuluh tahun dahulu. Lalang Melayulah yang menimbun dan akhirnya memusnahkan Bank Bumiputra. Kita tidak hairan dengan kehijauan dan kesuburan lalang, walau pun lalang Melayu!
Pemimpin Melayu seperti Mahathir patut tekun mencari jalan lain yang lebih bererti dan berkesan untuk menolong kaum kita. Jangan hanya suka memuaskan hati dengan mencaci dan membangkitkan kononnya kelemahan bangsa kita. Masyarakat Melayu sekarang berkehendakkan pertolongan racun Roundup bukan baja Urea untuk menghapuskan ahli lalang dalam masyarakat kita. Kebun kita sudah dibanjiri lalang.
Ada pepatah Kristian yang saya terjemahkan lebih kurang seperti berikut. Kalau kita menolong si miskin dengan memberinya seekor ikan, dia akan dapat makan hanya sehari. Tetapi kalau kita tolong dengan mengajar dia mengail, dia akan dapat makan selama hidup. Kalau tolong lebih sedikit, seumpama memberi pinjaman untuk membeli sampan, dia akan mengail laut yang luas dan dapat menanggung sekampung.
Kita tidak menolong kaum kita dengan memberi kuota masuk universiti dengan senang, lesen mengimport dan kontrak-kontrak lumayan, atau menyuruh perusahaan bangsa lain mengambil pengarah-pengarah (biasanya ahli politik) Melayu. Jauh sekali! Itu hanya membajakan lalang. Mereka hanya “ersatz capitalists” atau perusahaan menenggek, bukan tulen.
Pertolongan yang lebih bermakna dan berkatnya berpanjangan ialah jika kita menolong orang Melayu berfikir sendiri. Bebaskan otak orang Melayu. Kalau ungkapan kita masa tahun lima puluhan dahulu ialah “Merdeka Tanah Melayu,” sekarang slogan kita mestilah, “Merdeka Minda Melayu!
Itulah tema buku saya terakhir, “Liberating The Malay Mind.” Apakah yang saya maksudkan dengan minda merdeka? Konsep ini lebih terang dijelaskan melalui cerita seorang alim, Mullah Nasaruddin. Ia terkenal kerana mengajar melalui contoh yang ringkas dan jenaka diri sendiri.
Dia ada jiran yang suka meminjam keldai Mullah tetapi lalai untuk mengembalikannya. Pada satu hari jiran itu datang untuk meminjam binatang itu. Pak Mullah, (yang telah) menjangkakan permintaan itu, telah dulunya menyorokkan binatang itu di dalam reban dan tidak ternampak dari luar. Bila jiran itu memohon, Mullah Nasaruddin dengan lenang membalas, “Keldai ku sudah dipinjam oleh abangku semalam.”
Bila jiran itu kecewa pusing balik, dia kedengaran binatang itu melaung dalam reban. “Kau katakan keldai telah dipinjam oleh abang kau.”
Mullah serta-merta menjawab, “Kau lebih percayai ringkikan keldai lebih daripada suara Mullah?” Seorang yang mempunyai minda merdeka lebih mempercayai laungan keldai itu; mereka yang mempunyai minda yang masih dipenjarakan oleh adat dan budaya akan turut mempercayai Mullah walaupun keldai itu ada di hadapan mata.
Kita mesti melatih orang Melayu supaya bila kita dengar laungan keldai kita mesti mempercayai telinga kita walau pun Pak Lebai mengatakan itu hanya suara rekaan sahaja.
Dalam buku terakhir, saya mengemukakan empat cara untuk membebaskan minda Melayu. Pertama, membebaskan sebaran am dan punca-punca maklumat dan berita serta pandangan. Kedua, mengadakan sistem pendidikan yang bebas (liberal education) dan berlandasan kukuh atas asas sains dan matematik.
Ketiga, mendorongkan perusahan dan perdagangan dalam masyarakat kita; iaitu mengalakkan orang Melayu menjadi kaum perusahaan. Bila kita berdagang, kita sifatkan orang bangsa lain bukan sebagai pendatang tetapi bakal pelanggan kita. Maknanya, asas keuntungan kita!
Keempat, kita mesti kaji semula bagaimana kita mengajar agama kepada anak- anak kita serta bagaimana kita mengamalkan agama yang suci ini. Islam telah membebaskan kaum Bedouin Arab yang kanun, membebaskan mereka dari Zaman Jahiliyah kepada Zaman Cahaya. Begitu juga Islam patut membebaskan orang Melayu memulai dengan membebaskan minda kita.
Tanpa membebaskan minda Melayu, tidak kira berapa billion pertolongan kita beri, seberapa lumayan kontrak, AP serta kuota-kuota lain kita hadiahkan, atau berapa senangnya anak-anak kita masuk universiti, itu semuanya tidak bermakna atau berkesan. Semuanya itu bukan “pertolongan” yang tulin, bahkan hanya candu untuk syok sendiri dan hisapan khayalan sahaja. Semuanya saya umpamakan membajakan lalang.
Sebagai negara merdeka Malaysia telah mencapai banyak kejayaan. Kalau kita merdekakan minda Melayu, tidak terhad kejayaan kita sebagai perseorangan dan juga sebagai masyarakat. Yang indahnya, bila minda kita merdeka, ia tidak boleh lagi dipenjarakan.
Tidak payahlah kita ragukan unsur-unsur seperti globalisasi dan neokolonial. Kita tidak lagi bimbang bila anak kita fasih dalam bahasa Inggeris atau bahasa asing. Dengan minda merdeka kita tidak akan berasa terancam bila makhluk Allah lain menggunakan istilah ‘Allah’.
Merdekakan minda Melayu! Itulah satu pertolongan yang berkesan dan tak terharga!Berbalik semula ke ‘tongkat’ yang paling dihargai oleh Mahathir dan kerabatnya dalam UMNO, bagaimana kita boleh mengharap orang-orang kampung membuang tongkat kecil kayu mereka sedangkan tongkat emas yang beberapa lagi indah dan besar diberi kepada sultan-sultan, raja- raja dan menteri- menteri?
Kita marah bila Pak Mat di Kampong Kerinchi menyelewengkan wang pinjaman MARA dua tiga ratus ringgit untuk memajukan warung kopinya untuk membeli baju sekolah anaknya, tetapi bila suami menteri menyelewengkan berjuta- juta duit rakyat untuk membeli kondo mewah, pemimpin seperti Mahathir senyap sahaja.
Melayu tak payah diberi tongkat apa-apa pun. Pertolongan yang patut diberi ialah untuk membebaskan minda kita. Kalau hendak beri pertolongan, hanya tolonglah sedikit mencabut lalang di kebun kita supaya pisang, timun dan kacang kita boleh berpeluang tumbuh. Kalau enggan berbuat demikian, tolong janganlah bajakan lalang tu!