Jatuhnya Komunisme, munculnya Mahathir dan Malaysia Incorporated.


December 1, 2009

oleh Faisal Mustaffa (http://english.cpiasia.net/)

Jatuhnya komunisme, munculnya Mahathir Mohamad dan Malaysia Incorporated.

Jangkamasa 20 tahun banyak peristiwa berlaku namun kita tetap mengulangnya. Kita gagal untuk mempelajari dari masalah dan kesilapan.

Semasa aku berada di negeri Jerman dua minggu lalu (dari November 2 hingga November 20), aku dapat menyaksikan bagaimana rakyat di situ begitu menghargai peristiwa bersejarah yang berlaku pada November 9, 1989.

Rakyat Jerman pada tahun 2009 ini berpesta dan melaung-laung memperingati robohnya Tembok Berlin dua dekad yang lampau. Sungguhpun tembok tersebut sudahpun menjadi sejarah, orang Jerman tidak memerapkannya di dalam muzium.Bagi upacara simboliknya, negeri Jerman telah mengadakan satu acara gilang-gemilang di mana replika tembok tersebut disusun seperti domino dan kemudiannya ditumbangkan satu persatu.

Secara sengaja, pihak penganjur hanya membiarkan satu bahagian sahaja tembok tidak dijatuhkan. Ia mungkin isyarat tersirat yang ingin dinyatakan bahawa terdapat lagi kuasa-kuasa besar yang masih ego dengan kedudukan mereka yang enggan menyatukan masyarakat dunia.

Robohnya Tembok Berlin pada tahun 1989 pula telah menandakan penyatuan semula negera Jerman yang dipisahkan selepas Perang Dua Kedua kepada pemerintahan berdemokrasi di satu pihak dan komunisme di pihak yang lain.

Menyaksikan mereka meraikan ulangtahun ke-20 tumbangnya Tembok Berlin yang sejurus kemudian diiringi kejatuhan fahaman komunisme, aku teringat apakah signifikannya. Sungguh malang bagi kita, sejarah hanya menjadi matapelajaran untuk lulus peperiksaan. Kajian akademik menjadi bahan ilmiah dan bukannya menjadi rujukan umum.

Mungkin keruntuhan komunisme tidak memberi kesan secara langsung kepada warga negara ini. Akan tetapi, jika dibandingkan dalam dekad 80an itu juga, idealisme sosialisme banyak terhakis di tanahair kita.

Luahan hati melalui lukisan

Pada Disember 28, 2007, aku dijemput untuk memberi syarahan dalam satu pameran lukisan ‘Human Rights and Arts’ dan mengambil contoh graffiti yang dilukis rakyat Jerman Timur dan Barat tentang jeleknya pemisahan kuasa yang berlaku hanya kerana perbezaan ideologi politik.

Tembok Berlin telah memisahkan Eropah Barat dengan Blok Timur. Mengikut catatan Wikipedia, sebelum binanya tembok sepanjang 155km ini, seramai kira-kira 3.5 juta orang telah mengabaikan halangan dan sekatan Blok Timur dengan melepasi sempadan timur Berlin dan menuju ke arah barat.

Dari situ, mereka senang untuk merantau dan menyelamatkan diri ke Jerman Barat ataupun ke negara-negara Eropah Barat. Sepanjang teguhnya tembok juga membawa kes sekurang-kurangnya lima ribu orang telah mencuba melangkaui sempadan tersebut; seramai 100-200 orang mati akibat daripada gagal melepasi tembok berkenaan.

Pada hari pengumuman membenarkan rakyat Jerman Timur melepasi sempadan Berlin, orang ramai memanjat tembok itu, memecah-mecahkannya dan ada yang menyimpan batu-batannya sebagai bahan peringatan.

Sepanjang era Iron Curtain (Tirai Besi) naungan Soviet ataupun cengkaman komunisme di Eropah Timur, ramai penduduk yang disekat kebebasan mereka untuk bergerak dan berniaga umpamanya.

Forum ‘Human Rights and Arts’ yang aku menjadi kurator itu menyentuh mengenai kebebasan bersuara melalui kesenian. Ianya diadakan di Galeri Innovasi dan Reka Cipta dan dikelolakan oleh Pusat Seni, Universiti Sains Malaysia.

Selain itu, contoh-contoh lain yang aku pernah bentangkan banyak melibatkan artis seperti Wong Hoy Chong dan pameran ‘Tangisan Dalam Derita’ yang dianjurkan oleh RA Gallery tidak berapa lama dahulu.

Tembok Berlin menjadi bahan pembentangan aku dalam menunjukkan bagaimana tembok itu menjadi lapangan bagi golongan artis menyatakan rasa benci mereka terhadap pemerintahan pada waktu itu – melalui lukisan!

Projek kroni dan pemegang saham

Khalayak umum tidak menyangka bahawa perubahan sistem politik dapat meruntuhkan Tembok Berlin. Jadi tidak hairanlah jika pada 1989, orang ramai bersorak sambil melihat jatuhnya tembok yang telah berdiri sekian lama sebagai rekod visual sejarah (kerana dilukis cantik dengan graffiti oleh setiap lapisan rakyat).

Aku juga berfikir-fikir apakah yang berlaku di negara aku ketika Jerman gagal mengambil kata sepakat. Sebenarnya, dalam era memuncaknya Mahathirisme itu, penyalahgunaan prinsip kapitalisme paling menular di dalam diri pemerintah Malaysia.

Sebelum Operasi Lalang (1987) berjaya menyempal mulut dan suara akhbar, Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman telah menulis di dalam akhbar The Star mengkritik hebat pemimpin parti politik yang menyalahgunakan kuasa mereka dalam mengumpul kekayaan dalam projek berkepentingan rakyat.

Apabila kerajaan mengumumkan penswastaan Lebuhraya Utara-Selatan kepada UEM – sebuah syarikat kroni UMNO – yang antara pengurus (trustee) dan pemegang saham utamanya adalah orang kanan UMNO, maka tauke-tauke baru inilah yang kuat untung.

1Malaysia versi awal: Rakyat dibelakangkan

Seterusnya pada tahun 1988, Malaysia dilandai gelombang kemelesetan dengan pertumbuhan ekonomi yang lemah sebanyak dua peratus sahaja. Kadar pengangguran mencanak sehingga 9.4%. Seperti adat, PETRONAS dijadikan tabung cepu emas bagi menyelamatkan situasi pada ketika itu.

Pada waktu itulah kita dapat saksikan kontroversi Daim Zainuddin dan Fleet Group (yang merupakan salah satu lagi usaha UMNO) serta penghuluran bantuan kewangan kepada (bailout) syarikat-syarikat kroni dan bumiputera.

Presiden Aliran P. Ramakrishnan menulis dalam makalah bulanan organisasi sukarelawan tersebut [Aliran Monthly Vol 25 (2005): Issue 11] bahawa pembelian melibatkan MISC dan MAS agak menarik jika dijadikan contoh.

Ramakrishnan berkata, “MISC iaitu syarikat perkapalan milik Petronas telah tampil ke hadapan untuk pada 1998 untuk menyelamatkan syarikat perkapalan milik Mirzan Mahahtir yang menemui masalah dan dibebani hutang besar.”“Manakala Kementerian Kewangan pula diarah membantu Tajudin Ramli dan MAS dengan membeli saham MAS pada harga RM8 sa-saham walauhal ketika harga pasaran hanya RM3.62 (pada Disember 22, 2000). MAS kemudiannya mencatatkan bagi empat tahun berturut-turut selepas itu dan berhutang sehingga RM9 bilion,” sambung Ramakrishnan lagi.Kebanyakan kemelut ekonomi dekad rakus Mahathirisme itu (untuk butir-butir terperinci skandal-skandal kewangan lain kerajaan, sila baca laporan khas ini yang diserahkan kepada misi badan antarabangsa bergelar Inter Parliamentary Union) berpunca dari pemerintahan satu parti yang berlaku. UMNO-BN nampak akan kekuasaannya seolah-olah tidak ada yang lain mampu menandingi mereka.

Barangkali aku masih kecil pada waktu itu untuk memikirkan ini semua. Namun, sayang sekali para pemerintah kita, yang seharusnya lebih matang dan luas pemikiran serta jauh pandangan mereka, jarang juga melihat kepada sejarah dunia dalam membentuk negara sendiri.