Pesanan Hishamuddin Rais kepada Che Det dan UMNO


sumber: http://tukartiub.blogspot.com

Khamis, Oktober 30, 2008

STATISTIK EKUITI DAN BUMIPUTERA TIADA MAKNA

Tian Chua MP dan Hishamuddin Rais
https://i0.wp.com/www.amnesty.at/urgentaction/images/erfolg/erfolg_malaysia.jpg

Pembohongan ada pelbagai bentuk. Ada orang yang membuat janji tetapi tidak ditunaikan. Ada parti politik yang membuat manifesto pilihanraya tetapi sesudah menang dan berkuasa manifesto ini dilupakan. Ada menteri yang berjanji akan telus tetapi apabila berkuasa menjadi kukubesi. Ada menteri yang berjanji menentang nepotisma tetapi apabila berkuasa yang diutamakan ialah kaum keluarga. Semua ini pembohongan yang kita semua tahu, sedar dan faham.

Ada lagi satu pembohongan yang namanya – Statistik. Malah statistik adalah pembohong yang paling tersusun lagi licik lengok jalannya. Saya tidak pernah percaya kepada statistik. Saya menolak statistik sebagai patukan untuk dijadikan rujukan. Ini kerana selama ini saya melihat bahawa statistik ini boleh dimanipulasi dan ditunggang terbalikan. Statistik juga dijadikan senjata untuk mengolah pandangan orang ramai.

Mari kita lihat kes statistik tentang pencapaian ekonomi Bumiputera yang terus dihebohkan. Kes statistik ini menjadi heboh dan sengaja diheboh-hebohkan untuk tujuan mendapat sokongan politik. Mula-mula keluar satu angka statistik mengatakan bahawa Dasar Ekonomi Baru telah berjaya mencapai matlamat. Bumiputera sudah memiliki 45% ekuiti ekonomi negara ini.

Kemudian, satu lagi statistik yang mengatakan Dasar Ekonomi Baru belum berjaya. Bumiputera hanya memiliki hampir 19% sahaja. Kemudian satu lagi angka statistik keluar – bukan yang ini dan bukan yang itu – tetapi dipaparkan satu angka baru. Tiga angka statistik dimunculkan kepada umum. Membingongkan ? Tidak. Lupakan sahaja kerana ketiga-tiga angka ini tidak memiliki apa-apa untuk kita semua.

Saya tidak peduli sama ada Bumiputera memiliki 50%, 60% atau 100% ekuiti ekonomi negara ini. Angka-angka ini tidak memberi apa-apa makna kepada saya. Hujah saya menolak angka statistik ini cukup senang. Statistik ini hanyalah satu ‘omong kosong’. Statistik adalah angka-angka yang dikumpul tetapi dalam kehidupan harian kita ianya tidak bermakna.

Kalaupun Bumiputera memiliki 70% atau 90% ekuiti ekonomi negara ini, untuk rakyat seperti kita, ianya tidak akan mendatangkan apa-apa perubahan yang hakiki. Kalau kita Bumiputera naik bas tambangnya sama dengan yang Bukan Bumiputera, beli sayur harganya sama, bil lektrik, bil air dan harga top-up pun sama. Setiap bulan sewa bilik harganya sama. Di hujung tahun kos kehidupan bertambah – Bumiputera atau Bukan Bumiputera. Pemilikan ekonomi Bumiputera ini tidak ada sangkut paut dengan kehidupan harian kita, walaupun kita Bumiputera.

Katakanlah Bumiputera dalam negara ini telah memiliki 50% dari jumlah ekuiti ekonomi negara. Saya cukup yakin 50% ekonomi ini tidak akan dimiliki oleh semua Bumiputera. Jumlah 50% ekonomi negara ini mungkin dimiliki oleh 10 orang, 20 orang, 200 atau 200,000 orang Bumiputera. Apa yang terjadi kepada 16 juta Bumiputera yang lain? Mereka juga Bumiputera dan apabila statistik ini dirangka kewujudaan mereka juga dihitung sama. Jelas disini statistik ini tidak memiliki apa-apa makna.

Dalam ekonomi kapitalis, setiap individu dan warga diberi kebebasan untuk memiliki sebanyak mana kekayaan. Dalam ekonomi kapitalis disediakan ruang dan galakan untuk warga mencari dan mengumpul kekayaan. Jika kita faham ini maka bermakna kita semua sebagai warga akan mendapat peluang yang sama. Salah. Kita TIDAK akan memiliki peluang yang sama dalam ekonomi kapitalis. Peluang ini tidak wujud untuk kita yang tidak memiliki modal. Hanya mereka yang memiliki modal sahaja yang akan dapat mempergunakan peluang itu.

Bagitu juga dalam hal Dasar Ekonomi Baru ini. DEB ini telah menobatkan bahawa setiap Bumiputera di Malaysia berhak untuk memiliki 30% ekuiti ekonomi negara. Ini dongeng. Ini juga statistik. Mak Jah dari Felda Taib Andak yang memohon untuk mendapat projek membuat Istana Negara yang berharga 400 juta ringgit itu tidak akan mendapat melawan Maya Maju Sdn.Bhd. Mak Jah dan syarikat Maya Maju ini sama , mereka berstatus Bumiputera. Tetapi hakikatnya adalah berlainan. Ada hukum-hukum dan syarat-syarat lain yang TIDAK bertulis. Bumiputera ini hanya satu dongeng sama seperti statistik. Ianya tidak memiliki apa-apa makna yang hakiki.

Heboh-heboh statistik baru-baru ini bertujuan untuk mengolah persetujuan rakyat terutama Bumiputera untuk terus menyokong DEB. Dan terus menyokong gerombolan United Malays National Organisation. Amat jelas dari heboh-heboh ini ada dua pembohongan. Bohong pertama statistik. Bohong kedua ialah Bumiputera. Dua pembohongan ikat berikat.

Saya sedar ramai yang terpengaruh dengan pembohongan ini. Di sini saya ingin menerangkan terutama yang menganggap diri mereka Bumiputera. Saya harap mereka sedar bahawa konsep Bumiputera itu tidak ada apa-apa makna. Konsep ini juga sama dengan peratus statistik pencapaian ekuiti ekonomi Bumiputera – kedua-dua hanyalah ‘dondang sayang’ yang kedengaran tetapi tidak dapat dimasukkan ke dalam saku.

Selama 30 tahun ini bunyi perkataan Bumiputera telah dijadikan kempen oleh gerombolan United Malays National Organisation untuk mengumpul sokongan terutama dari orang Melayu. Rasa saya, manusia Bumiputera ini telah lama berdongeng bukan kerana ganja tetapi kerana mendengar bunyi dan statistik Bumiputera. Masanya telah sampai untuk kita bangun dari terus berdongeng dan berkhayal. Sila lihat disekeliling dan perhatikan apa yang sedang berlaku.

Ini bukan labun atau kempen politik kosong agar saya mendapat menjadi YB. Kalau tidak percaya apa yang saya tulis ini, sila pergi lawat Kampung Chubadak dekat Sentul di mana tanah yang di teroka oleh Bumiputera berpuluh-puluh tahun dahulu akan dirampas oleh pemaju… opps saya tidak jelas pemaju jenis mana – mungkin Bumiputera atau mungkin dari Nigeria atau mungkin dari gerombolan United Malays National Organisation (UMNO) yang buat ‘joint venture’ dengan gerombolan Malaysian Chinese Association (MCA).

Atau sila pergi ke Kampung Berembang di belakang Jalan Ampang – tidak jauh dari KLCC opps…maaf kerana nama ini nama Mat Saleh. Lihat di mana rumah-rumah Bumiputera telah dibumikan. Atau ke Plentong di Johor Bahru. Lihat bumiputera anak beranak ini sedang tidur di atas bumi. Ini bukan statistik. Ini adalah manusia hidup yang boleh kita pegang dan lawan bercakap. Mereka inilah yang tidak termasuk dalam kajian dari pakar-pakar statistik yang asli mahupun dari pakar-pakar statistik ‘cap ayam’.(tt)—Hishamuddin Rais

12 thoughts on “Pesanan Hishamuddin Rais kepada Che Det dan UMNO

  1. Pemikiran pakar ekonomi UMNO di think tanknya GABEM hanya boleh putabelit dan mengelirukan orang Melayu saja. Mereka main sentimen dan emosi untuk menakutkan bangsa sendiri. Tetapi orang Melayu tidak boleh didungukan lagi sebab mereka boleh memikir melalui experiential learning kesan yang baik dan yang tidak dari dasar kerajaan.

    Di bulan Mac tahun ini dan diPermatang Pauh bulan Ogos lalu, mereka khususnya orang Melayu
    sokong Pakatan Rakyat dan menolak UMNO. Kalau tidak kerana Sabah dan Sarawak, Badawi dan rakan rakan dalam UMNO dan Barisan Nasional sudah pun pencen dengan hilangnya kuasa politik.

    Statistik memang tidak bermakna. Pandangan sahabat saya Hishamuddin itu tepat sekali. Majoriti orang melayu masih miskin termasuk juga kawan kawan kita dari kaum India di ladang dan Cina di kampung baru dan pekan kecil. Jurang pendapatan (income differential) di antara kaum yang kaya raya dan yang miskin semakin ketara. Rakyat Malaysia masih belum dapat rawatan kesihatan yang sempurna dan air minimum yang bersih tidak sampai kampung kampung dalaman seluruh negara. Bekalan letrik pun belum dinikmati oleh rakyat di desa. Jurang digital (untuk Internet) di antara kita dikota dan mereka didesa amat nyata sekali. Orang melayu dan kaum lain didesa masih ketinggilan dalam bidang pelajaran.

    DEB, apa itu yang kita hebohkan sangat? Menapa kita tidak boleh menerima kenyataan bahawa DEB gagal mengubah nasib dan sudah melemahkan semangat orang Melayu?

    Baru ini saya baca satu laporan oleh Jayanath Appudurai dan G.A. David Dass (“Malaysian Indians: Looking Forward”, SIRD, 2008). Mereka membuat komen seperti berikut yang patut diberi perhatian yang amat serius: “The future of Malaysia hangs perilously on inter-ethnic harmony. The objective of the Government must be to achieve social justice for all the people, irrespective of ethnicity”. DEB yang bercorak perkauman mesti ditolak demi kepentingan and perpaduan rakyat.

    Saya harap rakan-rakan blog yang saya hormati dapat memberi pendapat yang telus and terang tentang apa patut kita buat demi nasib rakyat yang berbilang kaum di negara kita. Bagi saya, DEB mesti dimansuhkan dan diganti oleh dasar affirmatif yang lebih adil dan yang berupaya untuk membena kekuatan rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik. Sudah 51 tahun kita merdeka tetapi sikap pemimpin tidak berubah, masih memegang kepada sikap feudal dan penjajah.Merdeka itu kosong saja jika rakyat masih hidup dalam keadaan yang tidak sempurna dan miskin. —Din Merican

  2. hisham,
    Kerajaan beri you biasiswa untuk belajar tetapi you tidak belajar bersungguh-sungguh<mungkin reseki orang lain umpamanya tempat belajar di Uiversiti you sudah ambil.You adalah salah seorang yang tidak mensyukuri nikmat DEB.,,itulah you cuma jadi penulis blog dan bukan ahli politik yang menolong membangunkan bumiputra,

  3. En. Din,

    Semasa Datuk Seri Anwar masih didalam jawatan ditahun 90an dulu beliau ada memaklumkan untuk memperkasa dan meramaikan bilangan kelas menengah termasuklah Melayu Bumiputera. Pada masa itu, saya dan rakan-rakan amat teruja mendengarnya kerana kita memang tahu umumnya Melayu kelas menengah sangat kecil jumlahnya berbanding kaum lain. Cara bagaimana modus operandi ingin dicapai matlamat itu tidak sampai maklumatnya kepada umum. Bolehkah hasrat ini dilihat dan dikaji semula untuk diaplikasikan sekarang?

    Berkenaan DEB: Adakah saya mendapat keuntungan dari DEB? Saya tidak tahu? Apa yang saya tahu, sepanjang hayat saya, saya diajar oleh orang tua saya untuk berusaha keras dan melakukan sesuatu tanggungjawab itu dengan sempurna dan mesti tahu dan sedar mengapa dan kenapa kita buat sesuatu itu. Itulah yang saya pegang selama saya berusaha diuniversiti dulu dan sekarang semasa saya melaksanakan tugas saya sebagai seorang profesional. Kami bukan datang dari kalangan Melayu yang berkedudukan dan berpengaruh. Segala yang dicapai oleh saya dan ramai Melayu yang seperti saya adalah atas usaha sendiri sama susahnya dengan kaum lain bertanding diatas latarbelakang akademik yang setanding dengan mereka dari kaum lain.
    Pernah saya semasa melalui satu temuduga kerja diawal 90an dulu, bakal bos saya itu, seorang laki-laki India ini mengatakan kepada saya bahawa runtuhnya orang Melayu bukan disebabkan oleh kaum lain tetapi disebabkan oleh orang Melayu sendiri. Begitu sekali kaum lain melihat prejudis orang Melayu terhadap orang Melayu sendiri. Ya En. Din, orang Melayu itu prejudis terhadap bangsa mereka sendiri. Contoh paling mudah saya hendak gambarkan: orang perempuan Melayu yang bertudung tidak akan diterima bekerja oleh syarikat Melayu kerana cara pakaian mereka. Tetapi, perempuan Melayu tadi diterima bekerja disyarikat bukan Melayu. Kenapa ada perbezaan penerimaan disini? Sebab pakaiankah atau sebab keupayaan akademik dan personiliti perempuan tadi? Nampak betapa prejudisnya orang Melayu kepada kaum mereka sendiri.

    Adakah saya takut jika tiada DEB? Tidak, En. Din. Yang saya tahu, saya tidak takut bersaing dengan orang lain didalam hal pekerjaan atau perniagaan mahupun pelajaran. Yang saya tidak boleh terima ialah sikap prejudis dan diskriminasi yang wujud dikalangan masyarakat diluar sana terutamanya orang Melayu sendiri atas aspek ugama, pegangan politik, status, jantina dll yang tidak sangkut menyangkut langsung dengan kebolehan seseorang itu. Orang Melayu-lah yang paling kuat suaranya bila menghina kebolehan dan kepandaian orang Melayu sendiri. Orang Melayu-lah yang paling gemar sekali melabelkan negatif orang Melayu sebagai bodoh pemalas penerima sabsidi dll. Yang jelas sekali dari pengalaman saya, orang Melayu Umno-lah yang paling prejudis sekali.

    En. Din, bagaimana orang Melayu itu boleh ramai menjadi “middle class” kalau orang Melayu “upper class” sendiri tidak percaya kepada kebolehan dan keupayaan kaum mereka sendiri dan menutup ruang dan peluang kepada orang Melayu kecuali dari kelompok mereka sahaja. Orang Melayu biasa seperti saya ini mesti bersaing dengan kaum lain pada setiap masa untuk diterima disyarikat bukan Melayu DAN JUGA disyarikat orang Melayu. Cabarannya sangat ketat. Salahkah saya jika berpandangan sangat beruntung menjadi kaum lain di Malaysia ini selain Melayu? Kerana, kaum lain bukan sahaja diterima dengan mudah disyarikat sebangsa dengan mereka malah disyarikat Melayu juga. Sehubungan ini, peringatan saya kepada mereka yang berpandangan ” kerjalah dengan kerajaan”, prejudis anda itu akan merosakkan lagi sakibaki perasaan muhibbah yang ada.

    Bagi saya, orang Melayu yang pandai, rajin berusaha keras dan bersungguh-sungguh itu berada di kalangan kaum lain. Orang China dan India beruntung kerana bijak mengenalpasti orang Melayu pandai dan rajin ini bekerja dengan mereka. Yang ruginya orang Melayu.

    Yang mesti dihapuskan ialah prasangka, diskriminasi serta prejudis antara kaum dan dikalangan kaum itu sendiri. Dasar affirmative yang lebih adil seperti yang disarankan mesti dimulakan segera. Sistem didalam masyarakat dari aspek pengambilan pekerjaan dan kemasukan ke IPTA yang menitikberatkan maklumat tentang bangsa, agama dan status mesti dibuang. Perlu kepada penggunaan pendekatan antarabangsa. Bukankah Malaysia ahli kepada PBB? Tidakkah pemimpin negara tahu tentang “United Nations Universal Declaration of Human Rights”?

  4. Indra, masa untuk berdebat sudah habis. Cara lama yang tidak berkesan patut diketepikan. Kita kena cari jalan untuk membangunkan bangsa Melayu yang berilmu dan beretika tinggi, yang boleh bersaing di arena antarabangsa dan tahan lasak. Jangan kita dipermainkan lagi oleh ahli politik bangsa sendiri. 30 tahun DEB, bangsa kita masih lemah. Mengapa? Ini kenyataan, bukan politik.

    Anwar Ibrahim menerima hakikat bahawa DEB tidak boleh digunakan lagi di zaman gobalasi. Beliau ada rancangan jangka pendak dan panjang baru bermula dengan peningkatan mutu pelajaran anak muda kita. Jika kita ada kemahiran yang relevan dan baik untuk pasaran kerja, kita boleh dapat kerja yang lebih lumayan dan boleh maju. Peluang akan terbuka untuk semua dan bukan untuk peminpin atasan UMNO, keluarga dan kroni mereka saja.

    Siapa tak sayang bangsa. Sebab saya sayang bangsa, saya cabar bangsa sendiri dan saya yakin bangsa kita akan menerima cabaran ini dengan baik. Kita tidak mahu dimanjakan lagi. Bangsa kita ada maruah. Tetapi mereka yang kurang bernasib baik dan yang tidak upaya, kita tetap berbantuan.Itu tindakan affirmatif —Din Merican

  5. Setuju, En. Din.

    Memang pernyataan dasar itu untuk kesejahteraan semua kaum yang tidak upaya. Gagal yang ini maka gagal mendapatkan kestabilan dan pengukuhan negara dari pelbagai aspek.

    Antara cadangan:- lihat semula peranan dan keberkesanan struktur dan pentadbiran Jabatan Kebajikan Masyarakat;
    struktur dan perjalanan pentadbiran baitulmal;
    jabatan pendidikan;
    adakan sistem sekolah rendah satu aliran (kenapa berterusan mengasingkan kanak-kanak daripada kenal rakan mereka dari kaum lain siapa yang untung jika pengasingan ini berterusan);
    struktur dan pentadbiran Agensi Dadah Negara peringkat persekutuan, negeri dan daerah;
    struktur dan pentadbiran perpustakaan peringkat pusat, negeri, daerah dan universiti awam;
    bersihkan mentaliti masyarakat daripada hiburan keterlaluan;
    hapuskan pemujaan artis dan penganugerahan kepada artis yang tidak wajar;
    tiada politik didalam pengurusan pentadbiran dan akademik pengajian tinggi.

    Cadangan kepada Agenda Ekonomi Malaysia itu ingin dilihat pelaksanaannya dengan seberapa segera.
    Selamat maju jaya.

  6. Wan Suhaimy,

    Untuk mengatakan Hishamuddin tidak belajar bersungguh-sungguh adalah tidak tepat. Setahu saya beliau telah melanjutkan pelajaran di luar negeri dan mendapat kelulusan yang baik didalam bidang yang dia pelajari. Mungkin semasa di Universiti Malaya beliau tidak menumpukan pelajaran kerana terlibat dengan isu-isu social dan politik saperti kemiskinan di Baling , Kedah dan sebagainya.

    Yang penting ialah pendidikan universiti telah membuka minda ramai pelajar Melayu terhadap masalah bangsa dan seterusnya menjadi kumpulan yang mendesak kerajaan untuk berbuat sesuatu untuk membetulkan keadaan. Kalau kita masih ingat zaman 70an memang aktiviti mahasiswa begitu ketara dalam memperjuangkan nasib bangsa Melayu. Ramai pemimpin pelajar termasuk Dato Seri Anwar Ibrahim ditangkap dan dipenjarakan kerana perjuangan untuk memertabatkan bangsa Melayu.

    Isu sebenar bukanlah samada mereka belajar bersungguh-sungguh untuk mendapat ijazah dan seterusnya keluar dan bekerja dengan kerajaan atau makan gaji dengan swasta. Yang penting ialah pendidikan universiti membuka pemikiran mereka untuk menjadi seorang ynag sensitif terhadap isu-isu yang menghadapi negara dan bangsa. Akibat mahsiswa sebagai pressure group ini kerajaan lebih berhati-hati dalam mentadbirkan negara kerana mereka sentiasa peka kerana adanya pressure group tersebut.

    Samada Hisyam atau pemimpin-pemimpin lain, kebanyakkan mereka kni menjadi golongan yang penting dalam masayrakat. Masing-masing dengan peranan sendiri. Sebahagian menjadi pemimpin bangsa dan negara, sebahagian menjadi aktivis masayrakat dan sebahagian lagi menjadi usahawan dan golongan professional.

    Ijazah universiti bukanlah untuk menentukan kita layak untuk makan gaji sahaja. Untuk sebuah negara menjadi maju semua golongan yang saya sebutkan tadi adalah penting dan perlu.

    Salah satu dosa Mahathir ialah memperkenalkan Akta Universiti. Akibatnya mahasiwa menjadi lemah, tidak sentisif dan tidak menggunakan kedudukkan mereka sebagai golongan mahasiswa untuk menjadi pemantau bagi pihak rakyat. Kita boleh melihat kualiti mahasiswa Melayu selepas perlaksanaan Akta Universiti dan kita perlu fikirkan samada Akta Universiti mencapai kesan yang positif atau sebaliknya.

    Inda,

    Saya menghormati sikap yang saudara tunjukkan. Sikap inilah yang perlu kita ujudkan dalam setiap orang Melayu. Masalah yang kita hadapi ialah keupayaan UMO mengelabui mata orang Melayu dengan berselindung di sebalik DEB yang kononya untuk kepentingan Melayu. Apa yang telah berlaku ialah orang Melayu terus menerus menjadi masyarakat meminta yang hanya oleh hidup dengan belas ehsan kerajaan. Sampai bila kita nak jadi masyarakat bertongkat ? Bila kita nak cuba berdiri atas kaki sendiri.

    Kita perlukan lebih ramai orang saperti saudara !

  7. Rakan saya Hishamuddin adalah anak Melayu dan intelektual—cendiakawan mengikut bahasa GAPENA– yang berbakat dan juga prihatin terhadap rakyat yang kurang upaya atau tidak bernasib baik. Tulisan beliau sungguh tajam dan terhibur. Beliau juga adalah idealist yang aga luarbiasa. Beliau ada peminat sendiri. —Din Merican

  8. “Memang pernyataan “dasar” itu untuk kesejahteraan semua kaum yang tidak upaya“.

    Sdra Din Merican,

    Amboi, banyaknya “orang” dalam “semua kaum yang tidak upaya”! Spesial lah methodoloji ini, yang mutlak tak payah soal lagi! Macam Al Qur’an!

    Nampaknya kita perlu bakar semua bahan-bahan bertulis di Kementerian Penerangan dan arkib-arkib tertentu universiti. Saya sekarang dah bingung apa makna “upaya”, “tidak upaya” dan “orang kurang upaya (OKU)”. Saya ni anak Malaysia yang “kurang hak”, “underprevileged” kerana tak ada didikan dalam Bahasa “ibunda”. Lidah saya pelik dan kepala saya singit.

    Kalau haluan pemikiran adalah “tak/ kurang upaya”, penyelesainnya perlu berbentuk “tertentu”, sebab ini maksudnya “congenital physical incapacity” terselit makna manusia lahir otak cacat. Oleh itu “Melayu malas, bodoh”. Pemilik dan Tauke hamba suka ini semua. Kita tahu ini adalah satu konspirasi, yang dikatakan Sdra Hisahmuddin Rais dalam gaya lain – manusia hanya angka yang tiada nyawa, perasaan, sampah, tiada keupayaan asli manusia.

    Tak payah buang wang rakyat banyak belajar asas “bell-curve”! Orang yang betul-betul cacat upaya adalah di kaki bell dan orang otak bergeliga dan sempurna di kaki bell, tidak semua cantik molek – Hawking tersadar di kursitolaknya. Tak tau samada dia perlu jadi wira politik atau dewa maut.

    Kalau kita ada orang-orang Malaysia sebagai Hisham Onn, terdidik di Menara Gading asing, menyorokkan keris dan istilah “kurang upaya” dan lupa seluruh yang intelleknya alami semasa bermastautin di puncak keilmuan, ini soal kejujuran. Bahkan boleh dikatakan kecelekan!

    Saya ingat ini bukan soal mekanik ilmu ekonomi tapi hanya pembohongan dan penindasan dan ‘echo-not-your-money’ tapi “semua saya punye”, “engkau yang lain itu hanya kata Hisahm Rais, angka! Ku pijak-pijak pun tak akan sakit!”

    “Ko orang ni semua hamba. Cium tanganku!”

    Soal mekanik ni satu, pengharungan jiwa dan kepercayaan dzahir dalam tindakan dan method penyelesaian satu lagi! Kecelaruan dalam usaha pun satu lagi! Dan yang besar lagi kecelaruan dalam minda pun satu lagi.

    Tak manis rasanya. Tak elok parasnya. Hisham Rais kejeritan – “tidak termasuk dalam kajian dari pakar-pakar statistik yang asli mahupun dari pakar-pakar statistik ‘cap ayam’” !

  9. Jangan lupa juga, orang yang sibuk nak mengutuk hal pasal bumiputera ni ada kepentingan politik. Saja nak meraih sokongan dari bukan bumiputera.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.