Kenyataan Akbar Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Mohd Najib Tun Razak


  PDF Print E-mail
Posted by Raja Petra
Wednesday, 30 April 2008
Saya ingin merujuk kepada rencana yang disiarkan pada laman web tuan di bawah tajuk “Let’s Send Altantuya’s Murderers To Hell” pada 25 April yang lalu.Untuk makluman pembaca laman web tuan, saya membuat kenyataan ini untuk menjelaskan perkara sebenar, memandangkan ada sindiran- sindiran dan juga komen-komen yang tidak berasas yang dilontarkan terhadap Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Mohd Najib Tun Razak serta isterinya, Datin Sri Rosmah Mansor.

2. Artikel tersebut menuduh bahawa kononnya Timbalan Perdana Menteri dan isterinya ada kaitan dengan pembunuhan seorang wanita Mongolia; bahawa kononnya Timbalan Perdana Menteri pernah menyokong permohonan visa wanita itu; bahawa kononnya rekod imigresen wanita itu telah sengaja dihapuskan dan kononnya ada gambar yang dirakamkan (menunjukkan Timbalan Perdana Menteri dan isterinya) bersama dengan wanita Mongolia itu. Kesemua kenyataan ini merupakan kenyataan padang-dengar (hearsay) yang tidak pernah dibuktikan, tetapi pihak tuan sewenang-wenangnya menyiarkan kenyataan seperti itu seolah-olah ianya fakta, dan menjelaskan pendirian pihak tuan, dengan menyebut “ kami juga telah melaksanakan perbicaraan kami sendiri di mahkamah pendapat umum, dan kami telah mencapai keputusan kami sendiri.”

3. Rencana berkenaan juga menggambarkan seolah-olah penyiasatan polis dalam kes ini penuh kelemahan dan kecacatan serta proses perundangan berkaitan kes ini juga dikompromi dengan tujuan menyembunyikan pesalah sebenar dalam kes itu. Gambaran ini pihak tuan nyatakan dengan ayat “ show trial in the Kangaroo Court”dalam rencana terbabit.. Walaupun pada hakikatnya tuduhan-tuduhan dalam kes ini adalah tertakluk dalam bidang kuasa polis dan institusi kehakiman, Timbalan perdana Menteri berhak untuk mengulangi pendiriannya dalam “mahkamah pendapat umum’ ini bahawa beliau tidak pernah kenal, malah tidak pernah bertemu dengan mangsa dalam kes bunuh ini. Maka segala tuduhan-tuduhan liar yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri , sama ada secara langsung atau secara sindiran, adalah tidak lain dan tidak bukan berniat jahat untuk mencemarkan nama baik Timbalan Perdana Menteri pada mata rakyat Malaysia.

4. Dakwaan seorang saksi dalam perbicaraan kes Altantuya bahawa konon-kononnya si mati pernah makan bersama dengan Razak Baginda dan individu bernama “Najib Razak” tidak pernah disahkan, malah kredibiliti saksi itu juga tidak pernah diteliti. Dakwaan kononnya ada gambar si mati dengan Razak dan Timbalan Perdana Menteri juga tidak pernah dibuktikan oleh mana-mana pihak melainkan gambar rekaan yang terbukti palsu serta dibuat dan dikeluarkan oleh Ketua Penerangan PKR, Tian Chua. Jika benar gambar seperti yang didakwa itu wujud, mengapakah ia tidak dibawa ke dalam perbicaraan kes bunuh itu sebagai bahan bukti? Apakah “gambar” yang ghaib itu hanya boleh dijadikan bukti dalam “mahkamah pandangan umum” yang disebut dalam rencana itu?

5. Butiran kes, mengenai penglibatan Razak Baginda dan dua anggota polis yang dituduh, akan terungkai sepenuhnya dalam perbicaraan kes ini. Saya ingin menyatakan di sini bahawa dakwaan kononnya kes pembunuhan Altantuya ini pula bersangkut paut dengan pembelian kapal selam oleh Kerajaan Malaysia adalah tidak berasas sama sekali dan dakwaan itu dibuat semata-mata untuk menjadikan dongengan yang timbul sekitar kes ini lebih menarik.

6. Dato Sri Najib sekian lama menahan dan mengelak dari membuat sebarang kenyataan tentang kes ini kerana ia melibatkan tuduhan terhadap individu-individu yang beliau kenali. Sebarang kenyataan daripada beliau sudah tentu mengundang pelbagai tafsiran atau dianggap sebagai mencampuri urusan mahkamah, memandangkan perbicaraan kes itu sedang berlangsung. Suka diingatkan di sini bahawa pernah berlaku dalam sejarah negara ini, seorang bekas Timbalan Perdana Menteri didapati bersalah atas tuduhan menyalahguna kuasa apabila beliau cuba menutup penyiasatan salahlaku seksual terhadap dirinya.

7. Seperti yang dinyatakan sendiri oleh tuan dalam rencana itu, ada isu berkaitan “subjudice” dan penghinaan mahkamah, apabila membincangkan kes ini secara terbuka. Semua pihak, termasuk Dato Sri Najib, rakyat Malaysia, dan juga pelawat asing yang berada di Malaysia perlu menghormati undang-undang dan peraturan negara ini dan dalam konteks kes ini, menghormati undang-undang dan peraturan tersebut bermaksud tidak membuat pelbagai spekulasi atau kenyataan tentang kes yang sedang dibicarakan. Justeru, amatlah tidak adil tuduhan-tuduhan liar dan tidak berasas berkaitan perkara yang sebegitu serius dilemparkan sewenang-wenangnya terhadap Timbalan Perdana Menteri bagi tujuan menjatuhkan maruahnya pada pandangan umum.

8. Dalam rencana tuan, ada disebut “hal ini bukan hal politik dan tidak harus diuruskan sebagai hal politik”. Timbalan Perdana Menteri amat bersetuju dengan pandangan ini dan berpendapat bahawa kes ini perlu mendedahkan kebenaran, dan diselesaikan dengan seadil-adilnya. Namun begitu, jelas sekali ada pihak yang tidak berminat untuk mendapatkan pengadilan yang sebenar untuk Altantuya. Sebaliknya mereka hanya berminat dengan aspek politik kes Altantuya ini. Harapan saya agar pembaca-pembaca laman web tuan dapat membezakan antara apa yang benar, separuh benar, dan apa yang sebenarnya pembohongan dan penipuan yang nyata. Maklum sahajalah, seseorang ahli politik itu diadili di “mahkamah pandangan umum”.

9. Akhir sekali, ingin saya tegaskan di sini, bahawa, memandangkan tuduhan-tuduhan liar yang dilemparkant terhadap Timbalan Perdana Menteri itu adalah sangat serius dan membawa kesan negatif terhadap maruah dan imejnya, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Terima kasih.

Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad
Setiausaha Akhbar kepada Timbalan Perdana Menteri

3 thoughts on “Kenyataan Akbar Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Mohd Najib Tun Razak

  1. Dah terang lagi bersuluh….inilah ungkapan yang sesuai terhadap kes pembunuhan Altantuya yang mengaitkan penglibatan TPM/isteri. Kalau betul TPM/isteri tidak terlibat kenapa membisu terhadap banyak perkara2 yang berkait rapat dengan TPM/isteri, seperti penglibatan UTK, bom pemusnah C4, penglibatan Razak Baginda orang kepercayaan TPM/isteri?? Jawablah di mahkamah kalau betul anak jantan dan tak bersalah.

    Sebenarnya bukan hanya rakyat Malaysia sahaja yang percaya TPM/isteri terlibat dan patut dihadapkan ke mahkamah, seluruh dunia pun percaya mereka berdua terlibat. Tapi apakan daya dan malang sekali “kanggaroo court” di negara ini tidak mampu dan tidak ada telur membicarakan kebenaran sebenar.
    ——-
    BW Hamzah, saya sendiri juga tertanya-tanya tentang kes Altantuya. Kita kena berhati-hati bebab kita boleh didakwa dan diheret ka mahkamah. Mengikut undang-undang negara, “you are innocent unless proven guilty”.—Din Merican

  2. Najib has to say something, don’t you all agree? Keeping his ‘elegant silence’ makes him and wife look bad, that’s for sure. We’ll see, so is the whole world is watching the trial, their every moves and every word uttered.

    This is not an ordinary case. The victim is a foreigner in a brutal and bizzare murder and it has to involve someone from Malaysia’a political high office powerful enough to order those C.4 explosives, and tampering of Malaysian Immigration records.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.