DEB – Jangan salahkan kaum Cina, salahnya Melayu UMNO


source: www. harakahdaily.net

Mohd Rashidi Hassan

Rabu , March 12, 2008

Jangan lupa bahawa UMNO yang banyak mengkritik Parti Gerakan dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon semasa beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang kerana menjalankan dasar yang mendiskriminasikan orang-orang Melayu.

Akhbar Utusan Malaysia adalah antara media propaganda Barisan Nasional yang menyiarkan kenyataan beberapa Ketua Umno Bahagian di Pulau Pinang, yang secara lantang mengkritik Tsu Koon sehingga memeningkan kepala Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Hakikatnya semakin jelas kelihatan sejak berpuluh tahun kerajaan negeri diterajui Gerakan dari kelompok kaum Cina, Melayu Pulau Pinang semakin terhakis, mereka hanya menguasai dan memiliki aset di Seberang Prai, manakala di bahagian pulau, hanya tinggal di sekitar Balik Pulau.

Lain-lain tempat, Jelutong, Bayan Lepas, Georgetown, Melayu sudah semakin terpinggir dan semakin pupus. Hanya yang ada saki baki Melayu tinggal di kawasan flat. Rumah kampung sudah tiada, pangsapuri mewah pun tiada, kawasan elit pun Melayu hampir tiada. Jika ada pun Melayu dari kalangan UMNO.

Penulis tidak pernah berhasrat untuk membangkitkan soal kaum. Siapa yang menjadi Ketua Menteri, siapa yang memerintah atau sebagainya. Penulis sekadar mengharapkan rakyat berfikir, mengapa media dan UMNO begitu jahat memfitnah Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui Ketua Menteri, Lim Guan Eng dari DAP?

Apakah paparan bahawa kononnya kaum Cina dari DAP akan menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di Pulau Pinang boleh diterjemahkan sebagai semasa Cina Gerakan, DEB terlaksana dengan baik?

Jahatkah Cina DAP terlalu baikkah Cina Gerakan atau MCA pada pandangan Utusan Malaysia? Media tidak harus cuba mengelirukan rakyat, kerana mereka harus tanya kepada pemimpin-pemimpin UMNO Pulau Pinang, apakah mereka begitu puashati dengan Gerakan selama ini?

Jangan cetuskan api perkauman

Paparan seburuk ini, dibuat dengan nada yang begitu jahat, boleh mencetuskan ketidakstabilan hubungan kaum dalam negara. Utusan jelas ‘bermain dengan api’, meniupkan api perkauman yang boleh menjejaskan ketidakstabilan politik dalam negara.

Apa yang disebutkan Lim Guan Eng sebagai DEB menjadi punca kronisme, rasuah dan tidak efisyen sebenarnya memang betul.

Tan Sri Khalid Ibrahim ketika ditemuramah penulis dua tahun lepas (sebelum menganggotai KeADILan), tidak mempertikaikan DEB, yang dipertikaikan soalan perlaksanaannya. Soal delivery dan ketelusan yang dibangkitkan.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pernah menegaskan bahawa Islam tidak menerima sebarang tindakan yang boleh disifatkan sebagai diskriminasi kepada mana-mana kaum.

Namun, PAS menerima beberapa keutamaan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan terhadap orang-orang Melayu. Apa yang PAS pertikaikan ialah soal amalan korupsi, kronisme dan nepotisme yang dilaksanakan oleh Barisan Nasional.

Hakikatnya PAS mempertikaikan DEB kerana ia digunakan sebagai alat politik untuk kepentingan segelintir puak yang dikenali sebagai Umnoputra, bukan untuk bumiputra.

Bukan soal DEB sahaja, lihatlah dasar untuk kepentingan orang Melayu Islam sebacara keseluruhan untuk orang Melayu/ Islam sewaktu Umno berkuasa dengan bongkaknya?

Di mana ukuran UMNO-BN berjuang untuk Melayu?

Siapa yang merobohkan surau kegunaan untuk orang Islam, jika tidak dengan arahan Menteri Besar berketurunan Melayu dari UMNO?

Siapa yang meroboh setinggan-setinggan Melayu seperti di Kampung Berembang atas alasan tujuan untuk pembangunan?

Siapa yang ‘mengalibabakan’ projek kerajaan yang diterima atas nama kontraktor Melayu UMNO dan kemudiannya di sub-kon kan kepada kontraktor Cina?

Siapa yang menghapuskan pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu, untuk digantikan dengan bahasa Inggeris?

Siapa yang menghapuskan bantuan untuk Sekolah Agama Rakyat, yang rata-ratanya diwujudkan untuk pendidikan anak-anak Melayu/ Islam?

Siapa yang menindas dan menafikan hak ekonomi serta geran perkapita kepada kerajaan pimpinan orang Melayu di Kelantan dan Terengganu sewaktu PAS memerintah?

Sebenarnya bukan PAS, KeADILan atau DAP yang menolak DEB, hakikatnya pemimpin UMNO sendiri yang mengkhianati DEB!

Justeru, pemimpin UMNO tidak harus mendabik dada bahawa mereka adalah pejuang Melayu tulen, walhal sebenarnya merekalah yang menindas orang-orang Melayu.

Jika UMNO dan BN melaksanakan dasar-dasar negara dengan betul, sudah tentu orang-orang Melayu tidak akan menolak mereka.

Pilihan Raya Umum ke 12 menunjukkan orang-orang Melayu sudah menolak UMNO/BN. Jangan salahkan rakyat, sikap pemimpin UMNO sendiri yang menyebabkan penolakan besar-besaran berlaku.

Fikir dan renungkan. Rombak UMNO, suruh Abdullah berundur, jika tidak masa depan UMNO akan gelap dan tidak mustahil UMNO akan tersimpan dalam muzium, menjadi bahan sejarah.

3 thoughts on “DEB – Jangan salahkan kaum Cina, salahnya Melayu UMNO

  1. saya setuju dengan apa yang saudara ajukan
    kami tidak mahu ‘U’mat ‘M’usnah ‘N’egara ‘O’rang lain punya hati-hati wahai orang Melayu

  2. Saya terpaku membaca tajuk Utusan Malaysia hari ini. Reaksi pertama saya ialah mengapa Lim Guan Eng sanggup berkata demikian. Reaksi kedua saya ialah Utusan Malaysia tidak mempunyai “track record” liputan yang adil dan benar oleh itu berita ini mungkin tidak benar.

    Setelah memikir secara mendalam saya rasa Utusan perlu berhenti memainkan peranan jahat yang boleh menimbulkan huru hara antara kaum di negeri Pulau Pinang. Mungkin Utusan mahu membalas dendam terhadap orang Melayu Pulau Pinang yang rata-rata menolak UMNO !

    Isu Orang Melayu Pulau Pinang diketepikan bukanlah isu baru. Seperti yang di paparkan oleh Harakah, masalah ini telah dilaung-laungkan oleh beberapa Ketua Bahagian UMNO sejak beberapa lama. Tetapi Orang Melayu Pulau Pinang secara keseluruhannya semakin hari semakin tertekan. Siapa kerajaan pemerintah Pulau Pinang ? BN. Siapa komponen BN ? UMNO. Pemimpin UMNO Pulau Pinang hanya setakat melaungkan hak Melayu Pulau Pinang, tetapi berapa kerat daripada mereka ini yang mengalami perit kemiskinan sama seperti kebanyakan orang Melayu di Pulau Pinang. UMNO hari ini tidak ada hak mendabik dada menyatakan mereka pejuang orang Melayu Pulau Pinang dan begitu juga Utusan tidak ada hak melaungkan isu kepentingan Melayu Pulau Pinang, kerana peluang telah diberikan kepada UMNO dan Utusan – selaku lidah UMNO sejak Gerakan menjadi komponen BN. Apa hasilnya ? Mengapa bila UMNO sudah tidak ada kepentingan lagi baru Utusan hendak menunjukkan kononnya mereka pembela nasib Melayu Pulau Pinang ? Saya ingin menyeru setiap Ketua Bahagian UMNO mengistiharkan harta mereka supaya rakyat boleh tahu siapa yang tertindas di Pulau Pinang dan samada Ketua Bahagian UMNO di Pulau Pinang menerima nasib kesusahan sama seperti rakyat biasa di Pulau Pinang. Kalau ada orang Melayu yang tidak tertindas semasa kerajaan BN kemungkinan besar mereka ialah Ketua-Ketua Bahagian UMNO Pulau Pinang dan kroni-kroni mereka. Saya rasa ini yang dimaksudkan oleh Lim Guan Eng.

  3. Isu perkauman sememangnya tak dapat dielakkan bila melibatkan hal2 sebegini.tapi apa pun marilah kita berharap.supaya semua pihak dapat berdamai..in a sense,a win-win situation for all.jangan lah ada extremist di antara rakyat Malaysia…

    Arif, perkauman adalah politik lama yang masih digunakan oleh pihak peminpin UMNO seperti Kerismuddin dan Khairy Jamaluddin. Ketuanan Melayu apa gunanya jika tidak adil. Zaman sudah berubah dan UMNO masih tidor. Kita kena cari formula yang berdasarkan semua menang. Jadi, Arif atas sikap anda. Marilah kita cari jalan dan cara bagi mencapai keADILan untuk semua. Terima kasih—Din Merican

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.