Din Merican: the Malaysian DJ Blogger
The desire to write grows with writing–Desiderius Erasmus Roterodamus

Kassim Ahmad: Apakah makna, implikasi dan iktibar kemelut politik di Perak?

posted by din merican

KEMELUT POLITIK DI PERAK: MAKNA, IMPLIKASI DAN IKTIBARNYA

Oleh: Kassim Ahmad

13hb. Februari, 2009

Kejatuhan Kerajaan Pakatan Rakyat dan kenaikan kembali Kerajaan Barisan Nasional di Perak melambangkan pergeseran sengit antara dua tenaga politik-sosial di negara kita untuk menguasai bangsa dan negara Malaysia. Aliran ini sudah bermula sejak Pilihanraya Umum ke-12 pada 28 Mac, 2008.

Sebelum ini, selama 50 tahum lebih, UMNO-Periktaan dan kemudian UMNO-Barisan Nasional, tidak pernah gagal menguasai Kerajaan Pusat dengan majoriti lebih dua-pertiga. Dalam masa ini, UMNO-Perikatan dan UMNO-BN hilang kuasa di negeri-negeri Kelantan, Pulau Pinang dan Terengganu.

Apakah yang menyebabkan kekalahan undi dua-pertiga di Pusat dan kekalahan di lima buah Negeri oleh UMNO-BN dalam Pilihanraya Umum ke-12? Tiga faktor memainkan peranannya. Pertama, faktor kelemahan dalaman UMNO-BN sendiri kerana rasuah dan rebutan kuasa dalam UMNO-BN, termasuk kenaikan harga barang-barang keperluan. Kedua, faktor keruntuhan sistem kapitalis-liberal di pusatnya di Amerika dan Eropah Barat, dan keruntuhan ini melibatkan negara kita yang menjadi sebahagian daripada sistem itu. Faktor ketiga: peranan Internet yang menawarkan sumber maklumat dan analisis yang bebas yang tidak diperolehi daripada media cetak yang terbatas oleh oleh undang-undang yang mengongkong.

Jelas sekali bahawa rakyat Malaysia mahukan perubahan yang dijanjikan oleh pakatan pembankang, sekarang terkenal dengan nama Pakatan Rakyat, terdiri dari PKR, DAP dan PAS. Keputusan dua pilihanraya kecil di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu memperkautkan lagi aliran perubahan ini.

Apa yang berlaku di Perak baru-baru ini tidak diduga oleh Pakatan Rakyat. Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang di Parlimen dan ketua Pakatan Rakyat mengura-urakan pertukaran parti oleh UMNO-BN kepada Pakatan Rakyat untuk membolehkan beliau menguasai Parlimen dan, dengan demikian, Kerajaan Pusat. Tiba-tiba, kebalikannya telah berlaku di Dewan Undangan Negeri Perak apabila tiga anggotanya berpaling tadah dan seorang dari UMNO yang menukar kepada PKR kemudian berbalik kepada UMNO!

Oleh kerana Sultan Perak, berdasarkan kuasanya yang diberi kepadanya oleh Perlembangaan Negeri Perak, telah melantik seorang Menteri Besar baru dengan barisan Exconya dari BN, maka wujud dua kerajaan Negeri. Pakatan Rakyat tidak mengiktiraf kerajaan Negeri yang baru dan mengaggap dirinya masih sah, kecuali ditumbangkan melalui suatu pilihanraya baru, atau undi tidak percaya.

Tindakan Sultan Perak mungkin sah dari segi undang-undang, tetapi dari segi sentimen rakyat Perak pada waktu ini, tindakan ini tidak popular. Malah ia akan menarik simpati yang lebih kepada Pakatan Rakyat. Mungkin juga keputusan mahkamah mengenai saman Pakatan Rakyat terhadap kerajaan BN yang baru akan memihak kepada Pakatan Rakyat. Jika ini berlaku, UMNO dan BN akan mengalami suatu kekalahan yang besar.

Apakah makna kemelut ini? Dan apakah implikasi dan iktibarnya? Para pengundi Malaysia nyatalah mahukan perubahan apabila mereka mengundi dalam Pilihanraya Umum ke-12 itu. Satu aliran fikiran mahu melihat munculnya suatu sistem dwiparti di Malaysia yang boleh menawarkan perubahan kerajaan di Pusat dan juga di Negeri-negeri, seperti yang berlaku di dalam sistem-sistem demokrasi di Barat. Satu lagi aliran fikiran ialah yang menekankan satu “Harapan Baru” bagi Malaysia.

Kedua-dua aliran fikiran ini tidak sama. Pada umumnya, sistem dwiparti seperti di Barat, tidak menawarkan banyak perbezaan dari segi dasar, khansya dasar luar. Aliran “Harapan Baru” boleh ditafsirkan sebagai berbeza; bukan setakat mahu menawarkan suatu alternatif lain yang tidak banyak berbeza. Ia boleh ditafsirkan sebagai sebuah kerajaan yang benar-benar akan memberikan hak-hask asasi rakyat, termasuk jaminan makanan dan perlindungan. Saya fikir inilah aliran yang dikehendaki oleh rakyat. Bolehkah Pakatan Rakyat memenuhi aspirasi ini?

Inilah soalan yang perlu diberi perhatian utama oleh kedua-dua tenaga politik-sosial yang sedang bertembung hebat di negara kita sekarang. Sudah lebih setengah abad, sejak tamat Perang Dunia Kedua, manusia mencari suatu sistem politik-ekonomi yang adil. Sekarang kita sudah tahu akan kegagalan sistem komunis-marxis dan sistem kapitalis-liberal. Kita juga tahu akan kegagalan sistem teokrasi kedua-dua di Eropah dan di Asia. Kita kena tanya diri kita: Apakah bentuk dan rupa sistem yang kita cari? Bagaimanakah boleh kita wujudkan sistem itu di negara kita?

Pertama sekali, pengalaman manusia selama setengah abad ini mengajar kita bahawa sistem yang kita mahu mestilah bersifat sekular. (Tuhan itu Maha Kaya dan tidak memerlukan apa-apa, termasuk taat-setia atau amal-ibadat manusia kepada-Nya.) Ini tidak bermakna sistem ini anti-agama. Ia tidak juga bermakna ia amoral atau tidak menghiraulan perhitungan moral. Ia mengutamakan aspirasi manusia, kemanusiaan, apa yang diperlukan oleh manusia dan yang boleh membawa kebahagian kepada kehidupan manusia, seperti yang termaktub dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia yang dibuat oleh PBB. Terhadap agama, sistem ini neutral. Ia mengiktiraf kebebasan bergama dan hak semua orang untuk memilih dan menganut agama masing-masing. Terhadap moral, sistem ini mendukung slogan “memerintahkan kebaikan dan melarang kejahatan”, seperti yang diungkapkan dalam Quran.

Kedua, sistem ini bersifat demokratik. Pemerintahan mestilah bertunjangkan persetujuan dan kehendak rakyat, dalam kata-kata Abraham Lincoln yang masyhur itu: “sebuah kerajaan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat”. Juga pemerintahan ini mestilah berdasarkan undang-undang, dan bukan berdasarkan kehendak seorang autokrat atau sekumpulan elit agama atau politik.

Ketiga, sistem ini mestilah boleh memberi kebahagian kepada rakyat dengan hak-hak asasi dalam bidang-bidang spiritual, moral, intelektual, material dan fizikal terjamin, seperti yang dirumuskan dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia PPB itu.

Di samping itu, sistem ini hendaklah bersifat nasional, yakni dicorak oleh budaya bangsa Malaysia, yang berasal dari dan bertunjangkan, budaya bangsa Melayu dari sistem Kesultanan Melayu Melaka, sebelum intervensi sistem penjajahan Eropah (Protugis, Belanda dan Inggeris). Dari warisan inilah kita memperoleh sistem Raja Berperlembagaan, Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan. Apa yang dipanggil “Ketuanan Melayu”, yang telah disalah-ertikan sekarang, berasal dari warisan sistem ini.

Namun demikian, kita mesti iktiraf bangsa Malaysia sebagai suatu anggota dari keluarga besar bangsa manusia, anak-cucu Adam. Oleh itu, bangsa Malaysia tidak ada keistimewaan, kecuali sifatnya sebagai suatu bangsa yang takwa, yakni yang “merintahkan kebaikan dan melarang kejahatan” dalam kehidupan nasional dan internasionalnya.

Tiada siapa boleh menafikan jasa besar UMNO kepada suku-bangsa Melayu dan negara Malaysian. UMNO telah memainkan peranan utama dalam perjuangan menentang komplotan “Malayan Union” penjajah Inggeris selepas Perang Dunia Kedua dan mencapai kemerdekaan. Dalam perjuangan ini, UMNO disertai oleh dua parti lain yang mewakili masyarakat Cina dan India, iaitu MCA dan MIC, dalam gabungan Perikatan. Gabungan ini kemudian diperluas untuk meliputi beberapa parti lain, termasuk di Sabah dan Sarawak, yang menyertai Malaysia pada 16 September, 1963, oleh Tun Abdul Razak, presiden UMNO yang ketiga (dikira dari Dato’ Onn yang kemudian meletak jawatan) dan Perdana Menteri Malaysia yang kedua. Dari tarikh 31 Ogos, 1957 hingga 1976 apabila Tun Razak secara tiba-tiba meninggal kerana penyakit leukemia, Malaysia membuat banyak kemajuan dalam bidang-bidang ekonomi, pendidikan, pembangunan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, pembangunan luar bandar dan dasar luar.

Kemudian Dr. Mahathir, presiden UMNO yang kelima dan Perdana Menteri Malaysia yang keempat, meletakkan Malaysia di persada dunia dengan dasar peridustriannya dan dasar-dasar lain yang merupakan lompatan bagi kemajuan Malaysia. Namun demikian, dalam zaman beliau (22 tahun) UMNO berpecah dua kali dan apa yang dipanggil “politik wang” (amalan membeli undi) bermula dalam UMNO. Amalan demokrasi kian terbatas hingga Perhimpunan Agung UMNO tidak lagi menyuarakan hasrat anggota-anggota UMNO, khasnya, dan orang Melayu, umumnya. Kronisme, rasuah dan pembaziaran menjadi berleluasa. Dari sinilah masalah UMNO bermula, dan ia membawa kepada tersisihnya UMNO dari sebagian anggota-anggota UMNO sendiri dan juga dari orang Melayu.

Walaupun UMNO, dengan menubuhkan sayap-sayap puteri dan pemuda, berjaya memperoleh sokongan generasi muda dalam pilihanraya-pilihanaya, hal ini tidak kekal. Ini berlaku kerana keanggotan UMNO yang meningkat 3.2 juta orang hanya hebat pada zahir saja. Pada batinnya ia tidak hebat, kerana UMNO tidak menyelenggarakan kursus-kursus politik yang saintifik bagi anggota-anggota. Dengan lain perkataan, anggota-anggota UMNO tidak tahu perjuangan mereka. UMNO tidakmenggariskan falsafah politiknya yang jelas dan anggota-anggotanya tidak tahu falsafah politik ini. Akibatnya, mereka tidak boleh menjadi pendidik dan pengawas kepada bangsa dan parti. Penyelewengan dari peringkat atas hingga ke bawah tidak dapat dicam oleh anggota-anggota parti, kerana mereka tidak mempunyai ilmu politik. Umumnya, mereka masuk parti kerana mahukan habuan material, kerana ini telah menjadi budaya dalam UMNO pada waktu ini. “Kalau aku tidak ambil, orang lain akan ambil!” Korupsi material memperanakkan korupsi mental!

Pada waktu beliau hendak meletak jawatan, Dr. Mahathir menangis serta mengaku beliau gagal mengubah minda Melayu. Saya tidak fikir minda Melayu tidak boleh diubah. Ia boleh diubah dengan ilmu yang saintifik. Budaya saintifik mesti ditanam dalam UMNO dan dalam masyarakat Melayu.

Ramai orang meramalkan pimpinan UMNO yang ada sekarang tidak boleh memulih dan menyelamatkan UMNO. Kemerosotannya sudah terlalu jauh, kata mereka. Saya fikir tidak ada yang mustahil bagi manusia. Yang perlu ialah kehendak dan tindakan. Tindakan tidak akan dapat dibuat jika tidak ada kehendak. Kehendak tidak berguna jika tidak diikuti dengan tindakan. Pimpinan UMNO sekarang mesti ada kehendak untuk membuat reformasi dalam UMNO. Kehendak ini kemudian hendaklah diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan.

Perubahan-perubahan yang perlu dilakukan meliputi semua bidang: organisasi, politik dan pimpinan. Dalam bidang organisasi, UMNO tidak memerlukan bilangan anggota yang terlalu ramai. Apa yang diperlukan ialah anggota-anggota yang cerdik, aktif dan dinamik. Mereka harus diberi kursus politik yang saintifik. Kursus harus dibahagikan kepada tiga peringkat: kepada anggota-anggota baru, kepada kader-kader muda (untuk memegang jawatan di peringkat cawangan), dan kepada kader-kader kanan (untuk memegang jawatan-jawatan di peringkat bahagian dan pusat).

Dalam bidang politik, UMNO perlu melaksanakan dasar-dasar yang boleh memberikan kebahagian kepada rakyat, seperti yang telah kita huraikan di atas. Pembaziaran, rasuah dan segala bentuk penyelewengan mesti dihapuskan, atau setidak-tidaknya, diminimumkan. Wang yang diselamatkan dari pembaziaran, rasuah dan segala bentuk penyelewengan, sebagiannya hendaklah diperuntukkan bagi menaikkan gaji kakitangan awam di peringkat-peringkat bawah, supaya tidak ada rakyat yang pendapatnya tidak cukup untuk menyara keluarganya. Tindakan ini akan menghapuskan rasuah, dan, di samping itu, membantu menghapuskan jenayah yang sekarang kian meningkat..

Pembaziaran boleh dihapuskan dengan mengurangkan bilang pekerja dalam perkhidmatan awam. Mereka ini boleh diberikan latihan-latihan yang sesuai untuk memasukkan mereka ke dalam bidang pertanian yang masih amat luas skopnya, dan, dengan itu, meningkatkan penghasilan negara kita.

Kesesakan jalanraya di bandar-bandar besar, seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, perlu diatasi dengan mengurangkan kereta persendirian dalam bandar-bandar besar itu serta membaiki sistem kenderaan awam di sana.

Dalam bidang pimpinan, anggota-anggota UMNO mesti memastikan orang yang paling layak saja yang diberi jawatan. Mereka mesti mensyaratkan prestasi yang tertinggi bagi pemegang-pemegang jawatan.

Rakyat yang patriotik mestilah membantu UMNO membuat perubahan-perubahan ini. Jangan kerana perasaan benci, maka kita marah kepada UMNO dan melupakan jasa-jasanya. Namun demikian, UMNO harus ingat ia perlu melakukan perubahan-perubahan ini, jika ia mahu terus memainkan peranan asalnya sebagai pejuang dan pembela bangsa.

Demikian juga bagi Pakatan Rakyat. Harus diingat bahawa Anwar Ibrahim dan sebahagian besar dari anggota PKR ialah bekas anggota-anggota UMNO yang keluar dari UMNO bersama gerakan reformasi Anwar Ibrahim setelah beliau disingkirkan dari UMNO. Seperti yang telah saya katakan, setakat mahu mewujudkan sistem dwiparti seperti di Barat, tidaklah mencukupi. Rakyat mahu suatu perbuahan besar, suatu “Harapan baru”, slogan yang diciptakan oleh Anwar. Bolehkah PAS dengan kecenderongan teokrasinya, dan DAP dengan dasar “Malaysian Malaysia”-nya yang tidak berpijak ke bumi nyata, dan PKR yang terselit di tengah-tengah melaksanakan “Harapan Baru” ini. Mereka harus menyelesaikan percanggahan ideologi ini dengan segera serta melaksanakan dasar-dasar yang selaras dengan slogan “Harapan Baru” mereka.

Kita tidak perlu mengikut sejarah Barat dengan mengadakan sistem dwiparti. Kita perlu menggabungkan tenaga bangsa untuk memajukan bangsa kita, mengikut acuan kita sendiri.

Rakyat mahukan perubahan, bukan mahukan Pakatan Rakyat. Mereka akan melihat bagaimana kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir negeri-negeri di bawah kuasa mereka. Jika mereka tidak boleh menunaikan janji mereka, mereka akan ditolak, dan rakyat akan membuat pilihan lain. Inilah undang-undang pergantian, yang merupakan natural law atau sunnatullah.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kassim03@streamyx.com Laman web beliau <kassimahmad.blogspot.com>

7 Responses to “Kassim Ahmad: Apakah makna, implikasi dan iktibar kemelut politik di Perak?”

  1. Simpulan Politik Malaysia

    BN di terajui oleh UMNO dan MCA + MIC membantu UMNO mentadbirkan negara.

    PR di terajui oleh DAP dan PAS + PKR membantu DAP mentadbirkan negri2 Selangor.Kedah dan Perak.

    PAS tak perlu sesiapa di Kelantan.

    Polisi BN lebih menjurus kepada Melayu tapi polisi PR menguntungkan Cina(India pun tak dapat apa2 juga)

    Perjuangan Islam di Selangor,Perak dan Kedah tak de apa2 pun,sebab PAS tak dapat kebenaran dari DAP

    Di Kelantan PAS bebas menentukan polisi untuk kebaikan orang Islam

    PKR akan terkubur saperti parti2 serpihan UMNO yang lain macam partu negara dan semangat 46.

    DAP akan semakin kuat dikalangan orang cina sebab telah terbukti keberanian mereka di Perak dalam hal tanah 999 tahun

    UMNO dan PAS akan selama2nya bermusuhan sebab satu nak tolong melayu dan satu lagi nak tolong Islam.Kepala kedua2 nya telah miring (gila sikit)sampaikan tak tahu bahawa di Malaysia ini Melayu dan Islam adalah sama.

    Pemimpin2 BN tak boleh lepaskan rasuah dan pemimpin PAS akan tukar fatwa mengikut selera semasa

    DAP,MCA dan Gerakan,walaupun parti lain2 tetapi mempunyai matlamat yang sama,Malaysia for Malaysian!

    Selagi india sama india tak bersatu(tamil,ceylonese,singh dsbnya) tak bersatu,maka tahap mereka tak akan berubah

  2. I say no English version kah?? When it comes to Malay, there is this brain freeze. It needs to thaw before I could hope to make it work.

  3. Apa itu “kemelut”?? Camelot ka?? :)
    _______________
    Apa macam, Tuan Bean? Bahasa sendiri hang dah lupa. Sedih betul lah. “Kemelut” dalam UMNO means problems in UMNO.—Din Merican

  4. The word “kemelut” sounds like something has shrunk! We have enough of the corruption. We can do without the corruption of the English language.

  5. A very sensible piece of advice from Cik Kassim Ahmad applicable not only to UMNO but to all parties as well.
    It underscores the urgent need for a system change. However,I just like to point out that in our search for the right system most applicable for our utmost benefit – it does not matter whether it derives from the West, the East or even from Mars !
    Like what Deng Tsiao Peng once famously quipped, “it doesnt matter if the cat is black or if it is white, as long as it catches mice !”
    The reason why countries like Japan, Korea,Singapore and now China have made so much progress and development is because they study,learn and adopt what works and avoid or reject what has failed in other countries.
    More importantly, there must be acknowledgement rather than denial that current system is not working not just for ketuanan Melayu but for bangsa Malaysia as well .
    But effective and positive change will not take place without a capable leadership with vision and a solid core of serious,selfless, competent and dedicated people with a sense of urgency to support that leadership , to run the country. All it takes is a few good men (and women) !
    And the most important of all, the structures,both the software and the hardware must be in place to make sure that the system runs smoothly !

  6. Apa macam, Tuan Bean? Bahasa sendiri hang dah lupa. Sedih betul lah. “Kemelut” dalam UMNO means problems in UMNO.—Din Merican

    Bukan lupa! Hanya tak ingat.

  7. Salam,
    Saya setuju dengan pendapat kassim selamat2. Sama dengan apa yang saya fikirkan… Yang pastinya parti komponen PR sampai bila-bila akan tetap dengan pendirian mereka yang ego dan tak menerima ketentuan yang dah ditetapkan. Mereka tetap merasakan hanya mereka yang betul dan BN yang bersalah… Itulah fahaman ‘totok’ mereka sejak dari dahulu sehingga apa jua pembangunan dan kebaikan yang dilakukan kerajaan BN, semuanya dikritik dan dihentam semahunya…


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 208 other followers